MAPUTO, 28 Sept – Kerajaan Mozambique kelmarin menafikan tuduhan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), kononnya negara itu membeli peralatan ketenteraan serta senjata dari sebuah syarikat perdagangan di Korea Utara, lapor agensi berita China Xinhua.
Sebelum ini, Majlis Keselamatan PBB dilaporkan berkata, sebuah syarikat pelaburan di bawah Kementerian Pertahanan Mozambique membayar sejumlah AS$6 juta untuk mendapatkan bekalan senjata dari Korea Utara, sekali gus melanggar peraturan sekatan senjata PBB.
Menteri Pertahanan Atanasio M’tumuke dalam reaksi balasnya berkata, kerajaan Mozambique tidak takut dengan tuduhan itu kerana negaranya tidak pernah membeli senjata dari Korea Utara.
“Tuduhan itu tidak benar, Mozambique tidak pernah membeli senjata dari Korea Utara, kami harap PBB akan melakukan siasatan dan selepas itu membuat permohonan maaf,” kata M’tumuke pada penutup Kongres Parti Frelimo Ke-11 di Maputo. – Bernama