MPC, BSM catat peristiwa penting

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 SEPT – Syarikat Pelabuhan Muara Sdn Bhd (MPC), kelmarin, telah menandatangani perjanjian jangka panjang dengan Syarikat Pemasaran Brunei Shell Sdn Bhd (BSM) bagi perkhidmatan bunkering (pengisian minyak) di Pelabuhan Muara.

Majlis penandatanganan perjanjian berkenaan telah diadakan di Pusat Kapal Persiaran, Pelabuhan Muara di mana hadir menyaksikan peristiwa penting itu ialah perwakilan-perwakilan daripada pemegang saham MPC iaitu Ketua Pegawai Kewangan Beibu Gulf Holding (HK) Co Ltd, Lyu Guoli; Pengurus Pelaburan di Darussalam Assets, Awang Johan bin Dato Paduka Dr Haji Johar; Ketua Pegawai Operasi MPC, Awang Mohd Fazilah bin Haji Mohd Yassin dan Pengurus Bekalan dan Pengedaran BSM, Haji Hairul Radzi bin Shahri.

Menandatangani perjanjian bagi pihak MPC ialah Pengarah Pemasaran dan Pembangunan Perniagaan, Zhong Kunyu dan Pengarah Pengurusan Strategik, Awang Mohd Akmal Hanis bin Haji Jefri.

Manakala itu, BSM diwakilli oleh Pengurus Jualan dan Pemasaran, Hajah Rozalina binti Haji C A Mohamed dan Ketua Komersial, Dayang Suzelawati binti Haji Raden.

Turut hadir ialah pegawai-pegawai kanan serta pihak pengurusan dan kakitangan dari MPC dan BSM.

Kenyataan menjelaskan, pada 1 Oktober 2020, BSM akan memulakan operasi membekalkan minyak gas marin (10PPM) kepada kapal-kapal yang berlabuh di Pelabuhan Muara menerusi baj khasnya sendiri dengan kapasiti 800 tan metrik dinamakan Star1.

Menurut kenyataan itu lagi, kolaborasi berkenaan merupakan peristiwa penting bagi MPC di mana perkhidmatan bunkering dapat ditawarkan dan membangunkan lagi pelabuhan berkenaan. Menerusi hubungan sinergi itu, MPC dan BSM menyasarkan bagi peningkatan jumlah kapal yang berlabuh di Pelabuhan Muara sekali gus menyumbang kepada ekonomi negara.

Sesi bergambar ramai selepas majlis penandatanganan perjanjian antara MPC dan BSM. – Gambar serahan MPC