MPC galak semangat bersedekah

Oleh Sim Y. H.
Gambar serahan MPC

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 MEI – Dengan matlamat untuk meringankan beban golongan yang kurang berkemampuan semasa bulan Ramadan dan persiapan mereka bagi Sambutan Hari Raya Aidilfitri, Muara Port Company (MPC) telah menyampaikan sumbangan derma bagi keluarga dan individu yang memerlukan termasuk kakitangan MPC dan penduduk di kawasan Pekan Muara dan Kampung Kapok, baru-baru ini.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh MPC, di sini, hari ini, dalam kegiatan amal yang dikendalikan oleh pihak pengurusan dan kakitangan MPC itu, rombongan yang diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutif MPC, Zheng Caili dengan sokongan ketua-ketua kampung dari Mukim Serasa berkunjung ke rumah-rumah para penerima untuk menyampaikan sumbangan berkenaan.

Kenyataan itu menjelaskan lagi bahawa kegiatan amal berkenaan merupakan sebahagian daripada aktiviti kebajikan tahunan dan program tanggungjawab sosial korporat di mana para pegawai dan kakitangan syarikat dengan semangat berpasukan melawat ke rumah-rumah penerima bagi mengagih-agihkan sumbangan derma yang terdiri daripada barangan keperluan harian dan makanan.

Menerusi kegiatan amal itu, bukan sahaja ia diharap dapat membantu meringankan beban para penerima tetapi ia juga menjana semangat kemasyarakatan dan kebajikan dalam kalangan kakitangan syarikat serta menggalakkan masyarakat untuk memupuk semangat bersedekah dan meraih keberkatan dalam bulan Ramadan.

Ia juga merupakan salah satu daripada matlamat MPC untuk menyediakan sokongan berterusan kepada komuniti di bawah program tanggungjawab sosial korporat syarikat dan untuk merapatkan lagi hubungan dengan masyarakat menerusi pelaksanaan pelbagai program pendekatan dan penglibatan pihak-pihak yang berkepentingan.

Zheng Caili dan pihak pengurusan MPC menyampaikan sumbangan derma kepada penerima, Awang Muhd Fairdaus bin Karim dan Awang Muhd Syukri bin Karim semasa kegiatan amal berkenaan.
Pihak Pengurusan MPC bergambar ramai selepas menyampaikan sumbangan kepada sebuah keluarga di Kampung Kapok.PC