MPC lancar inisiatif sifar kecederaan

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 FEB – Sempena mempe-ringati ulang tahun ketiga Terminal Kontena Muara mula beroperasi, hari ini, Syarikat Pelabuhan Muara (MPC) telah melancarkan inisiatif Matlamat Sifar Kehilangan Masa Akibat Kecederaan bagi Pelabuhan Muara.

Inisiatif berkenaan telah dilancarkan oleh Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Maritim dan Pelabuhan Brunei Darussalam (PBMP), Haji Mohd Salihin bin Haji Aspar.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini, inisiatif berkenaan berobjektif untuk mencetuskan kesedaran oleh semua pihak berkepentingan dan pengguna pelabuhan mengenai peranan mereka dalam keselamatan dan tanggungjawab mereka kepada yang lain.

Inisiatif berkenaan adalah usaha kerjasama dalam kalangan semua pihak berkepentingan dan pengguna pelabuhan untuk memastikan dan menjamin insiden-insiden atau kecederaan tidak berlaku di pelabuhan.

Di samping itu, MPC juga telah melaksanakan beberapa langkah yang dipertingkatkan seperti keperluan Peralatan Perlindungan Diri (PPE) mandatori di pelabuhan, keperluan permit untuk menjalankan tugas-tugas operasi tertentu, sistem penalti dan demerit, keperluan pemeriksaan pihak ketiga yang diiktiraf bagi semua peralatan, latihan-latihan keselamatan dan latihan diiktiraf bagi kakitangan MPC.

Majlis pelancaran turut menyaksikan penyampaian Sijil Pernyataan Pematuhan Kemudahan Pelabuhan bagi Pelabuhan Muara yang disempurnakan oleh tetamu kehormat.

Menerima sijil berkenaan bagi pijak MPC ialah Ketua Pegawai Eksekutif MPC, Zeng Caili dan Ketua Pegawai Operasi, Awang Mohammad Fazilah bin Haji Mohd Yassin.

Haji Mohd Salihin (tengah) ketika melancarkan Matlamat Sifar Kehilangan Masa Akibat Kecederaan di pelabuhan Muara.
Kerja-kerja pemunggahan dilakukan dengan berhati-hati di pelabuhan tersebut bagi mencapai matlamat sifar kecederaan. – Gambar-gambar serahan MPC