Tuesday, April 23, 2024
28.9 C
Brunei

    -

    MPC lancar pelayaran sulung Supa Bhum

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 17 OKT – Pelabuhan adalah amat penting dalam pertumbuhan dan pembangunan prospek ekonomi dan menyedari akan peranan berkenaan, Syarikat Pelabuhan Muara Sdn Bhd (MPC) terus berusaha untuk mentransformasikan Pelabuhan Muara menjadi hab pemindahan dan perkapalan serantau di rantau Asia Tenggara.

    Perkara itu dinyatakan oleh Ketua Pegawai Operasi MPC, Awang Fazilah Yassin dalam kata alu-aluannya pada Majlis Pelayaran Sulung bagi Kapal Regional Container Lines (RCL) Pte Ltd, Supa Bhum di Pelabuhan Muara, hari ini.

    Hadir selaku tetamu kehormat dan mengalu-alukan pelayaran sulung kapal berkenaan ialah Ketua Pegawai Eksekutif MPC, Zeng Caili. Turut hadir ialah Pengurus Ben Line Agencies (B) Sdn Bhd, Anthony Dass Subramaniam serta jemputan-jemputan khas.

    Awang Fazilah dalam kata alu-aluannya lagi menerangkan beberapa inisiatif telah dilaksanakan yang dipercayai menjadi sebagai pemangkin ke arah mencapai matlamat transformasi Pelabuhan Muara termasuk pembesaran Terminal Kontena Muara seluas 250 meter lagi di mana ia dijadualkan untuk siap menjelang 2025 dengan matlamat bagi memudahkan pertumbuhan dalam jumlah kargo antarabangsa dan industri tempatan.

    Dengan terminal yang lebih besar itu, beliau berharap ia akan dapat menampung kapal yang lebih besar serta menggandakan kapasiti terminal kepada 500,000 TEU setahun.

    Antara jemputan khas yang hadir pada Majlis Pelayaran Sulung bagi Kapal RCL, Supa Bhum di Pelabuhan Muara, kelmarin.
    Zeng Caili (tiga kiri), Awang Fazilah (dua kiri) dan Anthony (lima kanan) serta jemputan khas bergambar ramai di hadapan kapal Supa Bhum, yang berlabuh di Pelabuhan Muara, kelmarin.

    Inisiatif lain yang dilaksanakan adalah pengubahsuaian Terminal Konvensional Muara termasuk gudang-gudang dan kawasan penyimpanan, pemodenan infrastruktur terminal dan penggunaan teknologi serta menjana lebih volum keluar dan masuk pelabuhan daripada industri hiliran seperti industri makanan dan minuman serta BFI.

    Terdahulu dalam kata alu-aluannya, Awang Fazilah berkata bahawa pelayaran sulung kapal Supa Bhum ke Pelabuhan Muara menandakan kolaborasi berhasil antara MPC, Ben Line Agencies (B) dan RCL di mana menerusi inisiatif kerjasama itu, MPC akan dapat untuk mengembangkan lagi kesalinghubungan serantau dan mengukuhkan lebih banyak laluan perkapalan ke Pelabuhan Muara.

    Sebagai pelabuhan terbesar dan pintu masuk perdagangan antarabangsa utama negara, Pelabuhan Muara terletak secara strategik di ASEAN di mana ia mempunyai kesalinghubungan cemerlang di Belt and Road Maritime Silk Road serta berpotensi untuk menjadi hab pelabuhan utama bagi kawasan pertumbuhan timur yang meliputi Pulau Borneo, BIMP-EAGA dan rantau ASEAN.

    Beliau berkata lagi bahawa pada masa ini, liputan kesalinghubungan adalah Malaysia, Singapura, China, Hong Kong dan Taiwan dengan 23 laluan perkapalan yang diwakili oleh 13 ejen perkapalan.

    Sehingga September 2022, lima komoditi teratas yang memasuki Pelabuhan Muara adalah barangan makanan iaitu 42.1 peratus, barangan rumah sebanyak 19.7 peratus, bahan binaan sebanyak 16.7 peratus, pelbagai barangan sebanyak 13.5 peratus dan produk elektrik dan telekomunikasi sebanyak 8 peratus.

    Artikel sebelum ini
    Artikel seterusnya
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sekumpulan gempa bumi gegarkan Taiwan

    TAIPEI, 23 APRIL - Sekumpulan gempa bumi melanda Taiwan pada awal hari ini, yang paling kuat mempunyai magnitud 6.1, menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat...