MPC lancar projek tingkatkan kedudukan M’sia

KUALA LUMPUR, 16 SEPT – Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) telah melancarkan projek strategi persaingan yang dijangka dapat meningkatkan kedudukan Malaysia dalam daya saing global.

Projek selama sembilan bulan itu bertujuan memberikan saranan dan panduan bagi meningkatkan daya saing, persekitaran perniagaan dan memudahkan dalam menjalankan perniagaan.

Dalam satu kenyataan hari ini, Ketua Pengarah Datuk Abdul Latiff Abu Seman berkata projek itu adalah berdasarkan kepada petunjuk dalam Buku Tahunan Daya Saing Dunia (WCY).

“Pada masa ini, kedudukan Malaysia telah menurun ke tempat ke-27 di antara 63 negara dalam WCY 2020, yang menilai daya saing sebuah negara berdasarkan empat faktor iaitu prestasi ekonomi, kecekapan kerajaan, kecekapan perniagaan dan infrastruktur, dengan setiap faktor merangkumi lima sub-faktor.

“Projek ini telah dimulakan baru-baru ini setelah MPC mendapat mandat daripada Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (PEMUDAH) yang telah diberi tanggungjawab untuk memacu daya saing dan produktiviti Malaysia berdasarkan laporan daya saing yang diterbitkan oleh agensi penarafan antarabangsa,” kata beliau.

Laporan-laporan ini, katanya, akan membantu kerajaan dalam meningkatkan kedudukan daya saing negara melalui penambahbaikan di peringkat dasar serta dapat merumuskan dasar yang lebih baik. – Bernama