BANDAR SERI BEGAWAN, 18 April – Muara Port Company Sdn Bhd (MPC) sebuah syarikat usaha sama yang baru ditubuhkan antara Darussalam Assets Sdn Bhd dan Beibu Gulf (HK) Ltd sebagai pengendali baru bagi Terminal Kontena Muara (MCT) sejak 21 Februari 2017 telah memperkenalkan perkhidmatan baru semalam.
Perkhidmatan yang baru ditingkatkan itu dihasratkan untuk meningkatkan kecekapan operasi MCT sejajar dengan matlamat kerajaan iaitu mudahnya berurusan dan memajukan Pelabuhan Muara sebagai pintu masuk di BIMP-EAGA. Perkhidmatan ini adalah kegiatan pemunggahan muatan kontena bagi pengiriman barang dengan kontena (FCL) yang mengandungi kargo bagi satu pengimport.
Perkhidmatan ini kini boleh dilaksanakan di Depot Kontena Dalam Negeri (ICD), kemudahan khusus milik Jabatan Pelabuhan, Kementerian Perhubungan, yang terletak kira-kira 1 km jauhnya dari laluan masuk ke MCT.
Ini memberikan pilihan kepada pengimport atau pengimport melalui ejen-ejen penghantaran masing-masing sama ada untuk mahu kontena-kontena mereka dihantar ke premis mereka atau dipunggah di ICD.
Ia bertujuan supaya semua kontena dihantar keluar dari pelabuhan ini secepat mungkin yang akan mengurangkan tempoh tinggal kontena ini di MCT.

Begitu juga dengan kontena eksport FCL yang memerlukan kegiatan memuat barangan boleh juga menggunakan tapak ini sebelum kontena-kontena dihantar ke kapal untuk dieksport.
MPC sebagai pengendali yang baru dilantik akan berusaha menyokong matlamat mudahnya berurusan dengan mengurangkan masa yang diambil untuk mengimport bagi pematuhan sempadan (dari ketibaan kapal kepada kebenaran) dan sasaran untuk mengurangkan masa kepada kurang 32 jam sebagai sebahagian komitmen mereka.
Ia dijangkakan memberikan impak positif pada pergerakan barangan dan kepantasan dalam hubungan bagi import, eksport dan transit barangan dalam rantau BIMP-EAGA di sepanjang ‘koridor ekonomi Barat”
Kemudahan tambahan baru ini juga akan beroperasi 24 jam seminggu yang mana para pengirim akan dapat memberikan perkhidmatan yang lebih efisyen kepada para penerima masing-masing.
Usaha ini adalah usaha bersama oleh Jabatan Pelabuhan di bawah Kementerian Perhubungan, Jabatan Kastam dan Eksais Diraja di bawah Kementerian Kewangan, sokongan dari Brunei Frieght Forwarders Association dan stakeholder lain yang berkaitan.