MPC sumbang $50,000 bersama pelitup muka

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 SEPT – Syarikat Pelabuhan Muara Sdn Bhd (MPC), sebuah syarikat usaha sama antara Darussalam Assets Sdn Bhd (Darussalam Assets) dan Beibu Gulf Holding (Hong Kong) Co, telah mendermakan sejumlah $50,000 kepada Tabung Bantuan COVID-19.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh MPC, di sini, hari ini, derma itu merupakan sebahagian daripada sumbangan berterusan dan sokongan MPC kepada usaha kerajaan untuk membendung penularan wabak COVID-19.

Ia juga tambahan kepada pengumuman baru-baru ini, di mana MPC akan meniadakan caj pelabuhan bagi pengimportan semua kargo yang berkaitan dengan peralatan dan bekalan perubatan yang dihasratkan bagi kegunaan Kementerian Kesihatan untuk menangani penularan wabak COVID-19.

Kenyataan menyatakan dengan keperluan mendesak untuk peralatan perlindungan diri (PPE) bagi petugas-petugas barisan hadapan penjagaan kesihatan, MPC juga menghulurkan sumbangan 10,000 pelitup muka kepada Kementerian Kesihatan.

Ketua Pegawai Eksekutif, Zeng Caili mengetengahkan syarikat berkenaan komited dalam menyediakan sokongan tambahan di mana mampu supaya dapat membantu Kementerian Kesihatan menangani pandemik berkenaan.

MPC juga menasihatkan orang ramai untuk terus berwaspada dan mematuhi garis panduan yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan serta meyakinkan orang ramai bahawa syarikat berkenaan mengambil langkah-langkah proaktif untuk memastikan keselamatan, operasi dan kecekapan pelabuhan tidak akan terjejas.

MPC turut menyumbangkan $50,000 untuk tabung COVID-19. – Gambar serahan MPC