MPEC kongsi perkembangan pekerjaan

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 OGOS – Sekretariat Majlis Perancangan Tenaga Manusia dan Pekerjaan (MPEC) dengan kerjasama Jabatan Sekolah-Sekolah, Kementerian Pendidikan telah mengadakan sesi penjumpaan dengan pegawai-pegawai dari Unit Kaunseling dan Kerjaya, Jabatan Sekolah-Sekolah serta guru-guru kerjaya dari sekolah-sekolah menengah dan pusat tingkatan enam di seluruh negara yang berlangsung di Teater Multimedia, Pusat Tingkatan Enam Sengkurong, kelmarin.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh MPEC, di sini, sesi itu bermatlamat untuk berkongsi mengenai inisiatif dan program yang sedang dilaksanakan di bawah MPEC serta maklumat utama dan perkembangan terkini mengenai pekerjaan yang ada serta diperlukan bagi tempoh lima tahun akan datang.

Maklumat-maklumat yang dikongsi dihasratkan untuk memberikan pandangan mengenai keadaan pekerjaan bagi membantu guru-guru kerjaya untuk membimbing dan memberikan nasihat yang tepat kepada pelajar, ke arah melengkapkan mereka dengan
kelulusan dan kemahiran yang tepat yang memenuhi keperluan industri.

Pada masa yang sama, Sekretariat MPEC juga menyentuh mengenai masa hadapan pekerjaan dan kesiapsiagaanya termasuk pentingnya bagi pelajar untuk membangunkan dan memperoleh beberapa sifat sosioemosi supaya mereka dapat menjadi tangkas dan responsif dalam menghadapi ekonomi global yang terus berubah.

Sekretariat MPEC juga berkongsi mengenai sokongan dan program yang disediakan oleh mereka termasuk pelbagai perkhidmatan daripada JobCentre Brunei (JCB).

Diharapkan maklumat berkenaan dapat melengkapi program pendidikan kerjaya di sekolah-sekolah menengah dan pusat tingkatan enam di Negara Brunei Darussalam.

Semada sesi itu, Sekretariat MPEC juga mengambil peluang untuk mengumpul maklumat dan maklum balas seperti aspirasi, keutamaan dan cabaran yang dihadapi oleh pelajar-pelajar khususnya dalam membuat keputusan mengenai laluan pendidikan atau kerjaya mereka.

Sesi itu dihadiri oleh lebih 60 orang guru kerjaya dan pegawai daripada enam kluster pendidikan di mana Sekretariat MPEC berharap untuk mengadakan sesi perjumpaan serupa dengan organisasi-organisasi relevan termasuk institusi pendidikan swasta dalam masa yang terdekat.