BANDAR SERI BEGAWAN, 5 FEB – Sekretariat Tetap Majlis Perancangan dan Pengambilan Tenaga Kerja (MPEC) termasuk JobCentre Brunei (JCB) akan menyertai Ekspo Pendidikan Tinggi (HE) ke-5, 2020 yang akan berlangsung pada 8 dan 9 Februari ini di Dewan 1 dan 2 BRIDEX, Jerudong.
Menurut kenyataan yang diberikan, semasa ekspo berkenaan, Sekretariat Tetap MPEC akan mempamerkan inisiatif-inisiatif termasuk maklumat mengenai peluang-peluang pekerjaan yang telah dikenal pasti dalam pelbagai sektor.
Sekretariat Tetap MPEC juga akan mengongsikan petua bagi membantu para pencari kerja supaya akan lebih berdaya tahan dan dinamik dalam menghadapi perubahan pasaran
kerja dan ekonomi terutamanya di era Revolusi Industri 4.0.
Selain itu, JCB akan mengongsikan senarai kekosongan jawatan-jawatan yang ada pada masa ini serta tip temu duga dan penulisan vitae kurikulum.
Sejak penubuhannya pada Januari 2017, lebih daripada 8,500 anak tempatan telah berjaya mendapatkan pekerjaan melalui JCB.
Dengan itu, orang ramai khususnya pencari kerja tempatan sama ada yang ingin mencari pekerjaan di sektor kerajaan mahu pun swasta, dialu-alukan untuk mendaftar ke portal JCB di laman sesawang www.jobcentrebrunei.gov.bn.
Pengguna yang berdaftar boleh memanfaatkan perkhidmatan-perkhidmatan yang disediakan seperti menerima pesanan ringkas mengenai peluang-peluang pekerjaan dan latihan, pemadanan pekerjaan (job matching), bimbingan kerjaya serta penggunaan sistem di mana permohonan secara dalam talian dapat dibuat terus ke atas peluang-peluang pekerjaan yang diiklankan melalui portal tersebut.
Orang ramai bolehlah mendaftar ke portal tersebut semasa Ekspo HE 2020, di mana pegawai dan kakitangan JCB akan berada di sana dan bersedia untuk memberikan bantuan.
Kenyataan menambah, dalam usaha untuk mendapatkan maklum balas daripada orang ramai, satu kajian dalam talian juga akan dilancarkan semasa Ekspo HE 2020.
Kajian tersebut bertujuan untuk mengenal pasti isu-isu semasa berkaitan dengan pengangguran di negara ini, termasuk memahami kelakuan anak-anak tempatan dalam lingkungan umur bekerja (yang bekerja dan belum bekerja) serta faktor-faktor tarikan utama dalam mencari pekerjaan.
Laporan daripada kajian berkenaan akan membantu dalam menggubal dan melaksanakan langkah-langkah penyelesaian serta dasar-dasar yang akan dapat memenuhi keperluan anak-anak tempatan, ke arah mengurangkan kadar pengangguran di negara ini.
Sehubungan itu, Sekretariat Tetap MPEC mengalu-alukan orang ramai untuk ikut serta dalam kajian itu nanti.
Bagi maklumat lanjut mengenai Sekretariat Tetap MPEC, orang ramai bolehlah mengunjungi petak mereka semasa ekspo itu nanti atau menghantar pesanan ringkas ke Sekretariat Tetap MPEC di talian 72921785.




























