MPK daerah Tutong hargai petugas barisan hadapan

Oleh Sim Y. H.

TUTONG, 5 SEPT – Majlis-majlis perundingan kampung (MPK) Daerah Tutong tidak ketinggalan untuk memberikan sokongan dan penghargaan mereka kepada petugas-petugas barisan hadapan COVID-19 di Daerah Tutong dengan menyumbangkan sebanyak 40 kotak pelbagai makanan kering dan 20 kotak air minuman, kelmarin.

Sumbangan diserahkan oleh Pemangku Penolong Pegawai Daerah Tutong, Haji Haizul Rizal bin Haji Yahya kepada wakil pihak Hospital Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah (PMMPMHAMB), Tutong di Bangunan Lama Daerah Tutong, Pekan Tutong.

Sumbangan berkenaan disalurkan melalui Projek Muafakat Amal MPK Daerah Tutong yang dikendalikan bersama oleh Jabatan Daerah Tutong dan Badan Kemajuan dan Kreatif Daerah Tutong dengan kerjasama MPK Daerah Tutong dan Sukarelawan Daerah Tutong.

Selain itu, sebanyak 30 set bungkusan makanan kering dan air minuman turut diagihkan kepada kumpulan sukarelawan yang bertugas di Kompleks Sukan Daerah Tutong.

Setakat ini, sebanyak 10 buah MPK Daerah Tutong telah memberikan sumbangan melalui projek berkenaan iaitu MPK Sengkarai, MPK Penanjong, MPK Panchor, MPK Petani, MPK Kiudang, MPK Padnunok, MPK Batang Mitus, MPK Bukit Panggal, MPK Keriam dan MPK Ukong.

Projek Muafakat Amal MPK Daerah Tutong melalui strategi bermuafakat, bersepadu, berterusan adalah platform khusus bagi memudahkan MPK Daerah Tutong menyalurkan sumbangan barang keperluan secara berterusan kepada barisan hadapan dan sukarelawan.

Barang-barang yang boleh disumbangkan termasuklah pek makanan, kelengkapan perlindungan diri seperti pelitup muka, sarung tangan, pelindung muka dan pensanitasi tangan, makanan kering dan minuman.

Projek itu juga merupakan salah satu inisiatif Jabatan Daerah Tutong bersama Badan Kemajuan dan Kreatif Daerah Tutong untuk sama-sama berganding bahu membantu pihak kerajaan membendung penularan wabak COVID-19 di negara ini.

Sebelum ini, tiga buah MPK iaitu MPK Penabai dan Kuala Tutong, MPK Telisai dan MPK Keriam telah melaksanakan inisiatif masing-masing memberikan sumbangan pelbagai barangan bantuan kepada barisan hadapan di daerah ini.

Haji Haizul menyerahkan sumbangan bagi projek Muafakat Amal MPK Daerah Tutong kepada wakil Hospital PMMPMHAMB, Tutong di Bangunan Lama Pejabat Daerah Tutong, Pekan Tutong. – Gambar serahan Jabatan Daerah Tutong