MPK Mumong A, B senarai aktiviti 2018

Oleh Hajah Saemah Kepli

KUALA BELAIT, 24 Jan – Majlis Perundingan Kampung (MPK) Mumong A dan B telah mengadakan mesyuarat pertamanya bagi sesi tahun 2018 hari ini dengan membincangkan beberapa perkara termasuk aktiviti tahunan yang akan dilaksanakan.

Hadir mempengerusikan mesyuarat tersebut ialah Ketua Kampung Mumong, Haji Mohd Yusof bin Haji Dulamin yang diadakan di kediaman beliau di Jalan Dipa Negara, Kampung Mumong di sini.

Antara agenda mesyuarat yang dibincangkan termasuklah penyampaian derma anak yatim, majlis doa arwah sekampung, bertadarus Al-Quran sepanjang Bulan Ramadan, Sambutan Hari Raya Aidilfitri serta penyertaan Sambutan Hari Ulang Tahun Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-72 tahun dan sebagainya.

Di samping itu, turut dibincangkan adalah penetapan upacara menaikkan bendera sempena Sambutan Hari Kebangsaan 2018 yang akan diadakan di kediaman ketua kampung dengan melibatkan penyertaan semua penduduk kampung serta Acara Sukan Ria sempena Hari Keluarga.

Tujuan mesyuarat itu diadakan adalah untuk bersama-sama memikirkan dan membincangkan perkara-perkara atau aktiviti yang boleh digiatkan di sepanjang tahun, selain mengeratkan silaturahim dan membantu mengenal pasti dan memperbaiki sebarang kelemahan rancangan tahun lepas dan mempertingkatkannya kepada pencapaian yang lebih baik melalui perancangan lebih mapan.

Mesyuarat berkenaan juga dihadiri oleh kalangan ahli jawatankuasa MPK Mumong A dan B yang telah dilantik bagi sesi tahun 2018 hingga 2020.

Ketua Kampung Mumong ketika mempengerusikan Mesyuarat Pertama MPK Mumong A dan B.