MPK RPN Lumut, SRST meriahkan sambutan perayaan

Oleh Daniel Lim

BELAIT, 12 JULAI – Bersempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-74 tahun, Majlis Perundingan Kampung (MPK) RPN Lumut dan Sekolah Rendah Sungai Tali (SRST), Lumut telah menganjurkan upacara menaikkan bendera negara, kelmarin.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Pemangku Ketua Kampung RPN Lumut, Awangku Ahmad bin Pengiran Haji Mahmud dan Pengetua SRST, Awang Muhammad bin Haji Suhaili. Turut hadir ialah warga sekolah dan ahli-ahli MPK Lumut.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat oleh guru agama SRST, Haji Kamalludin bin Mohammad diikuti dengan penyerahan bendera negara daripada ahli Pengakap Tunas 3025, Awang Ermi bin Abdul Wahab selaku pembawa bendera kepada ahli-ahli Pengakap Tunas 3025, Awang Hasnan bin Ismail dan Awang Azim bin Abdul Rahman untuk dinaikkan dengan iringan nyanyian lagu kebangsaan, Allah Peliharakan Sultan.

Dengan pengibaran bendera negara itu, MPK RPN Lumut berharap ahli-ahlinya serta warga sekolah akan memeriahkan lagi sambutan perayaan.

Ahli-ahli pengakap menaikkan bendera kebangsaan pada upacara berkenaan. – Gambar serahan MPK RPN Lumut