MPK sungai bunga anjur kejohanan lumba perahu

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 DIS – Majlis Perundingan Kampung (MPK) Sungai Bunga hari ini telah menganjurkan Kejohanan Lumba Perahu Seri Tanjung 2019 bertempat di perairan Kampung Sungai Bunga.

Antara perlumbaan yang dipertandingkan pada kejohanan tersebut ialah Lumba Perahu Tradisi, Lumba Bot Laju, Lumba Perahu Bidar serta mini bazar yang disediakan bagi para pengunjung yang hadir.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis pada kejohanan tersebut ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin.

Turut hadir pada acara tersebut ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Naim bin Haji Kamis selaku penghulu Mukim Kota Batu serta Setiausaha Tetap (Pentadbiran, Kewangan dan Estet) di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Pengiran Mohd Amirrizal bin Pengiran Haji Mahmud.

Yang Berhormat Menteri, pada acara tersebut turut berkesudian menaiki bot khas menuju ke Pusat Aktiviti Pelancongan Seri Tanjung MPK Sungai Bunga dan seterusnya menyaksikan persembahan kebudayaan dan melawat mini bazar yang turut mempamerkan beberapa produk tempatan.

Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan, ketika hadir menyaksikan kejohanan tersebut. – Gambar ihsan PB
Salah seorang peserta ketika beraksi dalam perlumbaan. – Gambar ihsan PB

Dalam Kategori Khas 10 Orang Pekayuh (Penghulu-Penghulu dan Ketua-Ketua Kampung), johan telah disandang oleh Pasukan Zon 2 manakala johan bagi Kategori 20 Orang Pekayuh pula menjadi milik Pasukan Mukim Saba.

Pasukan Mukim Saba sekali lagi unggul sebagai juara dalam Kategori Maraton 30 orang Pekayuh diikuti oleh pasukan Lela Cheteria di tempat kedua dan Pasukan PTB di tempat ketiga.

Kejohanan yang turut disokong oleh Jabatan Daerah Brunei dan Muara, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri tersebut turut ditaja oleh beberapa syarikat tempatan antaranya Hj. Tarsat Sdn Bhd, Syarikat Melabau Utama, Roda Impian Cruise Tour, De Hayat Cafe, Restoran Alif dan PDL Enterprise.

Penganjuran kejohanan berkenaan turut dibantu dengan kerjasama Jabatan Belia dan Sukan, KKBS, Pihak Berkuasa Maritim dan Pelabuhan (PBMP), Pasukan Polis Diraja Brunei, Jabatan Perhutanan, Jabatan Radio Televisyen Brunei, Pengawasan Kejiranan, Kelab Komuniti Belia Transformasi serta sukarelawan Kumpulan H.E.A.R.T.