MRSB anjur program baca Surah Al-Kahfi

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 SEPT – Situasi COVID-19 di negara ini, tidak menghalang Masjid Rashidah Sa’adatul Bolkiah (MRSB) mengadakan Program Membaca Surah Al- Khafi yang diadakan secara dalam talian, hari ini.

Program tersebut disertai oleh Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali bin Apong dan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin.

Terdahulu program dimulakan, bacaan Sayyidul Istighfar bagi memohon keampunan atas kesalahan dan kesilapan lalu dan selawat Tafrijiah untuk memohon terhindar daripada bala dan segala penyakit.

Setelah bacaan Surah Al-Kahfi, majlis diteruskan dengan program berselawat serta tazkirah pendek yang disampaikan oleh Mejar Ariffin bin Amit, salah seorang ahli takmir masjid berkenaan.

Juga turut hadir pada program tersebut ialah Pemangku Pengarah Hal Ehwal Masjid, Haji Amer Hisyam bin Haji Masri.

Majlis diakhiri dengan bacaan Doa Khas COVID-19 bagi memohon perlindungan supaya raja, rakyat dan Negara Brunei Darussalam dilindungi daripada wabak COVID-19.

Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali dan Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan antara yang menyertai dalam Program Membaca Surah Al Kahfi.