Wednesday, April 24, 2024
29.7 C
Brunei

    -

    MRSB, mantan PTE Jalan Muara adakan majlis khatam 76 kali

    Oleh Salawati Haji Yahya & Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 18 SEPT – Sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-76 pada tahun ini, pelbagai pihak telah mengadakan Majlis Khatam Al-Quran 76 kali buat raja yang dikasih dan disayangi.

    Masjid Rashidah Sa’adatul Bolkiah (MRSB) turut mengadakan majlis khatam itu bagi jemaah dan penduduk Kampung Sungai Akar serta kawasan sekitarnya.

    Majlis anjuran Ahli Jawatankuasa Takmir MRSB itu dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah oleh Imam Tingkat 2, Awang Muhd Farhanuddin bin Haji Hassan manakala Doa Khatam di-pimpin oleh Imam Helmi bin Haji Jamil.

    Hadir selaku tetamu kehormat ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman; Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim, serta Penaung Bersama MRSB, Dato Seri Setia Haji Ali bin Apong dan Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin.

    Seramai 300 peserta telah berjaya mengkhatamkan bacaan Al-Quran mereka yang terdiri daripada 200 lelaki dan 100 perempuan yang telah memulakan bacaan mereka pada 17 April tahun lalu.

    Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin hadir pada majlis khatam MRSB.
    Yang Berhormat Menteri di JPM semasa menghadiri majlis khatam PTE Jalan Muara.
    Isteri Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama bersama tetamu lain yang turut menghadiri majlis khatam itu.

    Majlis antara lain bertujuan untuk mengimarahkan MRSB seterusnya menjalinkan kerjasama dan hubungan silatulrahim antara penduduk persekitaran dan jemaah serta Ahli Jawatankuasa Takmir MRSB.

    Dalam pada itu, mantan penuntut-penuntut Pusat Tingkatan Enam (PTE) Jalan Muara 1975-1978 juga tidak ketinggalan mengungkayahkan majlis seumpamanya.

    Hadir selaku tetamu kehormat ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja  Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yusof, selaku penaung bersama majlis dan mantan penuntut PTE Jalan Muara 1975-1978.

    Turut hadir ialah mantan Menteri Pembangunan, Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Haji Awang Suyoi bin Haji Osman; mantan Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan, Dato Seri Setia Haji Ali bin Haji Apong yang juga penaung bersama majlis dan mantan penuntut PTE Jalan Muara.

    Majlis khatam itu turut dimeriahkan 150 jemputan lain terdiri daripada mantan-mantan pengetua dan penuntut lelaki dan perempuan PTE tersebut.

    Majlis turut diserikan dengan gema bacaan Qasidah Kalamun Qadim dan Doa Sebelum Membaca Al-Quran beramai-ramai diketuai bersama oleh  Haji Awang Zainal Arifin bin Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Haji Awang Siraj dan Pengiran Hajah Rakiah binti Pengiran Haji Abu Bakar.

    Ia diikuti bacaan surah-surah khatam Al-Quran beramai-ramai yang  diketuai  oleh Haji Abdul Wahab bin Safar yang juga memimpin Bacaan Takhtim dan Doa Khatam Al-Quran, Tahlil dan Doa Tahlil serta Dikir Marhaban.

     

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Korea Utara hantar delegasi ke Iran

    PYONGYANG, 24 APRIL - Delegasi ekonomi Korea Utara peringkat tinggi sedang dalam perjalanan ke Iran, kata media negara Korea Utara pada hari ini, untuk...