MRSB raikan penubuhan ke-7

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 JULAI – Masjid Rashidah Sa’adatul Bolkiah (MRSB) kelmarin telah mengadakan Majlis Doa Kesyukuran, membaca Surah Al-Waqiah dan Al-Mulk sempena hari ulang tahun penubuhan masjid berkenaan yang ke-7 tahun.

Majlis dihadiri oleh Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali bin Haji Apong dan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin.

Turut hadir ialah Pemangku Ketua Kampung Sungai Akar, Haji Ibrahim bin Haji Jamaluddin berserta ahli jawatankuasa takmir masjid dan para penduduk Kampung Sungai Akar.

Majlis dimulakan dengan solat Fardu Maghrib berjemaah yang diimamkan oleh pegawai masjid, Haji Syamsul Nizam bin Haji Badar yang seterusnya mengepalai bacaan zikir dan Doa Tolak Bala.

Kemudian, majlis diteruskan dengan bacaan Doa Kesyukuran, Surah Al-Waqiah dan Al-Mulk sebelum diakhiri dengan solat fardu Isyak berjemaah.

Majlis antara lain bertujuan bagi menyahut visi dan misi MRSB untuk menjadikan masjid tersebut sebagai pusat ibadah dan perkembangan ilmu bagi membentuk masyarakat yang bertakwa (berilmu, beriman dan beramal soleh) ke arah mencapai hasrat menjadi sebuah Negara Zikir.

Selain itu juga untuk mengembang majukan serta memakmurkan MRSB sebagai pusat peribadatan, ilmu pengetahuan dan kegiatan ummah di mukim masjid, melalui perancangan dan pengurusan yang berkesan dan dinamik bagi melahirkan insan yang beriman, bertakwa dan berilmu, berlandaskan Al-Quran dan As-Sunnah menurut akidah Ahli Sunnah Wal-Jamaah dan Mazhab Imam Syafi’i.

Yang Berhormat Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan dan Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan ketika hadir pada majlis tersebut. – Gambar serahan MRSB