Oleh Fadhil Yunus
BANDAR SERI BEGAWAN, 5 OGOS – MS ABDB muncul juara Piala Futsal Brunei 2022 selepas menewaskan Almerez 4-2 dalam peringkat akhir pusingan kedua (agregat 7-4), pada perlawanan yang berlangsung di Kementerian Pertahanan, malam tadi.
Kemenangan tersebut menandakan kejayaan pertama pasukan domestik dinobatkan sebagai juara dalam kejohanan utama kebangsaan sejak Kota Junior memenangi Liga Futsal Brunei pada 2016.
Edisi terakhir Liga Futsal Brunei telah dimenangi oleh pasukan jemputan dari Malaysia, Kuantan Rangers sebelum digantungkan empat tahun.
Pasukan MS ABDB terus mengukuhkan kedudukan se-lepas meraih kelebihan dua gol secara agregat dengan mencatat gol pada minit ketujuh.
MS ABDB kemudiannya melebarkan jurang sebelum separuh masa dengan menambah dua lagi gol.
Kedudukan gol tersebut memberikan cabaran besar untuk Almerez.
Almerez FC cuba bangkit namun MS ABDB bijak bertahan.
MS ABDB semakin dekat untuk mencipta kemenangan apabila Mohammad Safari bin Wahit berjaya membuat halangan untuk mematahkan percubaan Almerez mendapatkan gol.
Sementara itu, dalam perlawanan berasingan, Kasuka Ar Rawda berjaya meraih tempat ketiga selepas menewaskan Kota Rangers dengan keputusan agregat 14-7.
Pemain MS ABDB, Awangku Muhammad Jumatatul Aleshahrezan bin Pengiran Metali dinobatkan sebagai pemain terbaik kejohanan, manakala Abu Yazid bin Haji Samah dinamakan sebagai penjaga gol terbaik kejohanan, sementara Abdul Hafiz bin Haji Untong dipilih sebagai jurulatih terbaik kejohanan.
Hadir bagi menyampaikan hadiah kepada pemenang ialah Presiden Persatuan Bola sepak Brunei Darussalam (FABD), Pengiran Haji Matusin bin Pengiran Haji Matasan.