MS PDB lakar tiga gol

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Jan – Pasukan Majlis Sukan Polis Diraja Brunei (MS PDB) mengukuhkan lagi kedudukan dalam saingan Liga Super Brunei DST 2018/2019 apabila berjaya menewaskan Pasukan IKLS FC dalam perlawanan yang berlangsung di Kompleks Sukan Berakas, hari ini.

Prestasi Pasukan MS PDB begitu membanggakan dan sukar diatasi pasukan lawan apabila keputusan 3-0 memihak kepada pasukan itu.

Jaringan pembukaan Pasukan MS PDB dihasilkan seawal minit kelima separuh masa pertama menerusi pemain berjersi nombor tujuh, Awang Mohd Fazizzul bin Hussin.

Sementara itu pada separuh masa kedua perlawanan, nasib sekali lagi menyebelahi Pasukan MS PDB apabila dihadiahkan sepakan penalti yang berjaya disempurnakan oleh Awang Mohd Zulkhairie bin Haji Mohd Saleh pada minit ke-48.

Selang dua minit kemudian, MS PDB sekali lagi menambahkan kekecewaan Pasukan IKLS FC apabila pemain jersi bernombor 10, Awang Abdul Azim bin Abdul Rashid berjaya melakar gol ketiga buat pasukan itu.

Keputusan itu kekal sehingga pengadil meniupkan wisel penamat sekali gus memberi tiga mata penuh berharga buat Pasukan MS PDB dalam meneruskan misi menjulang piala Liga Super Brunei DST pada edisi kali ini.

Gambar ramai skuad MS PDB sebelum memulakan persaingan di Kompleks Sukan Berakas, kelmarin.