MS SSBD raih pingat perak

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 JULAI – Kontinjen Majlis Sukan Sekolah-sekolah Negara Brunei Darussalam (MS SSBD) telah berjaya mengutip satu pingat perak melalui acara Pencak Silat di Kejohanan Sukan Sekolah-sekolah ASEAN ke-11 Tahun 2019, di Semarang, Indonesia.

Menurut kenyataan daripada Kementerian Pendidikan, di sini, pingat perak berjaya diperoleh oleh pesilat kontinjen MS SSBD, Awang Mohd Mahadir @ Danish Naqiuddin bin Mahmud bagi Kategori Seni Tunggal Putra dengan jumlah kutipan 447 mata pada peringkat akhir kejohanan tersebut yang diadakan di Grand Ballroom, Patra Jasa Hotel Semarang, Indonesia.

Manakala, pingat emas dan pingat gangsa masing-masing dimenangi oleh Indonesia dan Filipina.

Turut hadir dan seterusnya menyempurnakan penyampaian pingat tersebut ialah Pemangku Pengarah Pendidikan Kokurikulum, Awang Mohamed Jais bin Haji Abd Rahman, selaku Chef De Mission bagi MS SSBD.

Sepanjang berada di kejohanan tersebut, kontinjen MS SSBD telah menunjukkan peningkatan berbanding dari tahun-tahun sebelumnya sejak tahun 2016.

Chef De Mission bergambar ramai bersama kontinjen MS SSBD.

Peningkatan ini merupakan hasil usaha keras dan disiplin termasuk aspek penilaian dan pemilihan atlet yang lebih komprehensif serta program latihan pusat yang telah dijalankan sebelumnya.

Menurut kenyataan itu lagi, tiga pe-renang lelaki bagi kontinjen MS SSBD telah berjaya memecahkan rekod peribadi iaitu Awang Mohd Danish Shah bagi acara 50 Meter Kuak Dada dengan catatan masa 34.47 saat, Alvin Bong Jia Lok bagi acara 50 Meter Kuak Dada dengan catatan masa 35.08 saat dan Aaron Ang bagi acara 400 Meter Gaya Bebas dengan catatan masa 4:23.16 saat.

Perenang perempuan bagi kontinjen MS SSBD, Ashely Chai telah berjaya mara ke peringkat akhir bagi acara 200 Meter Kuak Lentang.

Dalam acara renang 800 meter gaya bebas, perenang lelaki dari pasukan MS SSBD iaitu Aaron Ang dengan catatan 9:19.70 saat telah berjaya memecahkan rekod kebangsaan yang terdahulu dipegang oleh Nathaniel Nikles yang mencatat 9:29.82 pada 20 April 2014.

Dua orang atlet dari pasukan MS SSBD dalam acara olahraga 100 meter, 200 meter dan 800 meter berjaya mara ke peringkat akhir.

Kejohanan Sukan Sekolah-sekolah ASEAN ke-11 Tahun 2019 diadakan selama sembilan hari bermula 17 hingga 25 Julai 2019 di Semarang, Indonesia.

Sebanyk 10 buah negara ASEAN menyertai kejohanan tersebut iaitu Negara Brunei Darussalam, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam.