Saturday, August 20, 2022
23.2 C
Brunei

M’sia, AS akan terus pererat kerjasama untuk kemakmuran ekonomi dan keselamatan

-

KUALA LUMPUR, 2 OGOS – Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) menghargai hubungan dua hala yang telah sekian lama terjalin dan akan terus bekerjasama dalam aspek keselamatan dan kemakmuran ekonomi.  

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Speaker Dewan Perwakilan AS, Nancy Pelosi berkata demikian pada majlis jamuan tengah hari sempena meraikan Pelosi yang dalam rangka lawatan rasmi ke Malaysia di sini, Selasa.

Pelosi dan delegasi kongresnya tiba di Malaysia pada Selasa sebagai sebahagian daripada lawatan rasmi ke empat negara Asia.

Ismail Sabri dalam ucapan alu-aluannya berkata kedua-dua pihak mempunyai hubungan yang baik dan menjadi rakan kongsi penting dalam pelbagai bidang termasuk ekonomi, pelaburan, kesihatan dan pertahanan.

Perdana menteri berkata perkongsian itu terus diperkukuhkan lagi dan semakin erat susulan Sidang Kemuncak Khas ASEAN-AS yang diadakan di Washington D.C dari 12 hingga 13 Mei baru-baru ini, sekali gus menjadikan ASEAN semakin dekat dengan AS.

Perkongsian itu terus diperkukuhkan menerusi kerjasama diplomasi vaksin menyaksikan AS telah menyumbangkan satu juta dos vaksin Pfizer-BioNTech COVID-19 kepada Malaysia untuk membantu negara memerangi wabak itu.

Selain itu menerusi kerjasama pertahanan, AS telah memberi pelbagai bantuan setakat ini, termasuk geran bernilai US$200 juta, katanya.

“Seperti kita tahu, Malaysia dan AS mempunyai hubungan baik dan merupakan rakan kongsi yang penting dalam semua bidang. Dalam bidang ekonomi dari segi pelaburan AS merupakan pelabur terbesar dalam negara,” kata-nya ketika berucap menggunakan Bahasa Melayu. – Bernama

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyampaikan ucapan ketika hadir pada Majlis Makan Tengah Hari bersama Speaker Dewan Perwakilan Amerika Syarikat Nancy Pelosi di sebuah hotel kelmarin. – Bernama
- Advertisment -

DISYORKAN UNTUK ANDA

Yangtze susut, kemarau teruk landa China

CHONGQING, 19 OGOS – Sungai terbesar China, Yangtze menyusut teruk hari ini akibat kemarau musim panas terburuk di China dalam masa enam dekad sehingga...
- Advertisment -