M’sia B-23 menang menentang Laos

KUALA LUMPUR, 25 OKT – Malaysia memulakan cabaran pada Kelayakan Piala Asia 2022 Bawah-23 (B-23) dengan langkah kanan apabila menang tipis 1-0 ketika bertemu Laos dalam perlawanan Kumpulan J di Stadium Mongolia Football Federation (MFF) di Ulaanbaatar, hari ini.

Walaupun mengawal perlawanan pada separuh masa pertama di padang tiruan dengan keadaan suhu jatuh di bawah 10 darjah Celsius, Harimau Muda hanya mampu untuk mencipta beberapa peluang terhadap pasukan Laos yang bermain de-ngan agresif.

Peluang terbaik terhidang pada minit ke-36 menerusi cubaan jarak jauh Luqman Hakim Shamsuddin, yang berjaya di tumbuk penjaga gol, Solasak Thilavong, namun muntahan bola itu gagal digunakan sepenuhnya oleh Muhammad Azam Azmi.

Pada separuh masa kedua, sepakan percuma pada minit ke-50 yang diambil Nik Akif Syahiran hanya melepasi palang gol, manakala Laos berjaya mengucar-ngacirkan kawasan hadapan gol Malaysia, namun berjaya dikeluarkan pertahanan Malaysia.

Akhirnya keputusan Brad Maloney untuk membawa masuk tiga pemain simpanan pada minit ke-66, telah membuahkan hasil dalam tempoh beberapa minit sahaja. 

Pemain gantian, Quentin Cheng melakukan sepakan lintang ke arah pintu gol, yang kemudiannya dengan mudah berjaya ditolak masuk Muhammad Nur Azfar Fikri Azhar pada minit ke-68, untuk gol kemenangan Malaysia. – Bernama