PUTRAJAYA, 22 APRIL – Malaysia bakal menjadi hab penting di peringkat global dalam pembangunan industri mineral pada masa akan datang kerana memiliki kepelbagaian sumber mineral yang berpotensi untuk diusahahasilkan secara optimum, kata Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah.
Beliau berkata kajian tinjauan awal yang dijalankan oleh Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) menganggarkan nilai sumber mineral Malaysia berjumlah RM4.11 trilion yang merangkumi mineral logam bernilai RM1.03 trilion, mineral bukan logam (RM2.96 trilion) dan mineral tenaga (RM0.12 trilion).
“Walaupun nilai ini masih merupakan anggaran, hakikat yang perlu kita ketahui adalah Malaysia mempunyai sumber mineral yang sangat bernilai dan mampu menjadi sebahagian kepada penyumbang utama kemajuan ekonomi negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran kerangka Pelan Transformasi Industri Mineral Negara 2021-2030 (TIM 2021-2030) oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, di sini hari ini.
Muhyiddin ketika melancarkan kerangka pelan itu berkata sumbangan sektor mineral kepada KDNK pada 2019 ialah sebanyak RM9.9 bilion.
Bagaimanapun, katanya, pembangunan industri mineral Malaysia tidak seimbang antara peringkat huluan, pertengahan dan hiliran.
Justeru katanya kerangka pelan yang dilancarkan itu merupakan agenda baharu negara yang menjadi rujukan utama semua pihak berkepentingan bagi memastikan industri dibangunkan secara holistik.
“Seiring kemajuan pesat dalam era Revolusi Industri 4.0, permintaan terhadap pelbagai jenis mineral terus meningkat secara drastik.
“Teknologi untuk masa hadapan terus bergantung pada input mineral yang tinggi termasuk pembuatan produk untuk menangani perubahan iklim seperti panel solar, kincir angin, kenderaan elektrik dan storan penyimpanan tenaga,” katanya.
Menyedari hakikat itu, Muhyiddin berkata Malaysia yang kaya dengan hasil mineral harus bijak memposisikan diri serta mengambil peluang untuk meneroka dan membangunkan sumber yang dimiliki.
“Namun demikian, ini tidak bermakna kerajaan membenarkan aktiviti dalam industri ini dijalankan tanpa kawalan. Cabaran yang masih dihadapi seluruh dunia yang perlu ditangani ialah menguruskan industri ini tanpa menyebabkan kerosakan alam sekitar dan gangguan kepada kehidupan,” katanya.
Manakala itu, Shamsul berkata melihat kepada kewujudan kepelbagaian sumber mineral yang tersebar di seluruh negara, ia bukan sahaja memberikan pendapatan kepada Malaysia, malah memberi manfaat kepada kemajuan ekonomi negeri melalui aktiviti perlombongan dan pengeksportan bahan mineral yang dijalankan.
Beliau berkata penekanan terhadap prinsip kebertanggungjawaban dan kemapanan dalam menjalankan aktiviti perlombongan, pengeksplorasian, pemprosesan dan penghasilan produk berasaskan mineral akan dijadikan sebagai agenda utama kementeriannya supaya ia memberi impak langsung kepada rakyat serta tidak membawa kesan negatif kepada alam sekitar, biodiversiti dan hutan.
Menurut Shamsul, kementeriannya telah diberikan peruntukan sebanyak RM87.2 juta bagi melaksanakan gerak kerja berkaitan pembangunan industri mineral negara di bawah peruntukan Belanja Pembangunan Rancangan Malaysia ke-12 JMG. – Bernama