KUALA LUMPUR, 27 OKT – Malaysia bakal menjadi pangkalan pembuatan Thamlev USA Ltd di Asia Tenggara bagi pengeluaran basikal elektrik syarikat tersebut di luar dari Amerika Syarikat (AS).
Tapak baharu itu akan mengembangkan kapasiti pembuatan yang sedia ada Thamlev dan membantu meningkatkan profil dan pembangunan sektor kenderaan elektrik di Malaysia.
Jumlah pelaburan bagi projek kenderaan elektrik ringan itu bernilai RM100 juta dan pelaburan modal syarikat tersebut bakal mentransformasikan Malaysia menjadi hab kenderaan elektrik ringan seperti eMoped, eMotorcycle dan eMicrocar serta mewujudkan kira-kira 750 peluang pekerjaan.
Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Datuk Wira Arham Abdul Rahman berkata pengembangan Thamlev ke Malaysia itu adalah sejajar dengan Dasar Automotif Nasional (NAP) negara yang disasarkan untuk menjadikan Malaysia sebagai peneraju serantau dalam pembuatan kenderaan elektrik, kejuruteraan, teknologi dan pembangunan mampan.
Dikenal pasti sebagai sektor utama di bawah Aspirasi Pelaburan Nasional, Malaysia komited memacu pertumbuhan kenderaan elektrik dan keseluruhan ekosistemnya yang seterusnya akan membantu meningkatkan landskap kenderaan elektrik menjadi lebih kompetitif di Asia Tenggara.
“Kerajaan Malaysia akan berusaha membangunkan persekitaran kondusif bagi pemain industri asing dan domestik untuk menjalankan perniagaan berikutan keupayaan negara untuk menyediakan tenaga kerja berkemahiran tinggi dan rakan kongsi teknologi yang berkebolehan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Thamlev Mobility Sdn Bhd Kelvin Tham berkata dengan penyelidikan dan pembangunan canggihnya syarikat itu komited untuk memacu sektor pembuatan Malaysia terutamanya dalam sektor kenderaan elektrik ringan dengan produk berkualiti paling tinggi. – Bernama