M’sia bantu Afghanistan jadi negara beri hak asasi kepada rakyat

KUALA LUMPUR, 22 NOV – Malaysia menjalin hubungan dengan pemerintah Afghanistan pada masa ini bagi membantu mereka mewujudkan sebuah negara yang memberikan hak asasi kepada semua rakyat termasuk dari sudut amalan demokrasi dan hak wanita.

Timbalan Menteri Luar Datuk Kamarudin Jaffar berkata Malaysia secara rasminya mempunyai hubungan yang rapat dengan Afghanistan dan banyak membantu kerajaan dan negara berkenaan sejak lebih 20 tahun lepas. “Berkaitan Taliban (pentadbiran baharu Afghanistan) ini, kita ada hubungan yang kita lakukan melalui saluran-saluran tertentu misalnya pada September lalu, rombongan daripada Global Peace Mission Malaysia telah melawat Afghanistan dan menemui pimpinan Taliban.

“Melalui kedutaan kita khususnya di Qatar, kita mempunyai saluran perhubungan dengan pihak pemerintah Afghanistan sekarang untuk tujuan memastikan mereka berjaya mewujudkan sebuah negara yang memberi hak asasi kepada semua rakyatnya,” katanya. – Bernama