M’sia benar warga Singapura, Brunei masuk bersyarat

PUTRAJAYA, 19 JUN – Malaysia secara dasarnya bersetuju membenarkan warga Singapura dan Brunei untuk memasuki pintu sempadan negara, tanpa perlu memohon kepada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), menjalani saringan COVID-19 serta kuarantin di rumah.

Bagaimanapun Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (gambar bawah) berkata, kebenaran tersebut tertakluk kepada kelonggaran sama yang diberikan kepada rakyat Malaysia oleh kerajaan Singapura dan kerajaan Brunei, berhubung perkara yang sama.

“Kebenaran diberikan Malaysia ini dalam bentuk timbal balas, di mana Singapura dan Brunei pada masa yang sama turut memberi kelonggaran kepada rakyat Malaysia untuk masuk ke negara mereka, tanpa sebarang sekatan,” katanya pada sidang media harian Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di sini hari ini.

Ismail Sabri yang juga Menteri Pertahanan berkata, perkara itu sedang dibincangkan oleh Wisma Putra bersama Kementerian Luar Singapura pada masa ini.

Keputusan Malaysia untuk memberi kelonggaran berkenaan adalah tertakluk kepada keputusan yang dicapai dalam rundingan antara Malaysia dan Singapura, katanya. Beliau menjelaskan kebenaran untuk masuk ke Malaysia tanpa sekatan hanya diberikan kepada warga Singapura dan Brunei, yang menetap di negara masing-masing.

Jelasnya, setakat ini Malaysia mengklasifikasikan Singapura, Brunei Australia dan New Zealand sebagai negara zon hijau COVID-19. “Senarai negara zon hijau dan zon merah COVID-19 ditentukan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia,” katanya.

Ismail Sabri berkata, warga asing yang masuk ke negara secara sah sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lepas, mempunyai masa yang cukup untuk memperbaharui visa mereka, kerana JIM beroperasi sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), bulan lepas.

Justeru beliau berkata, JIM mempunyai alasan tersendiri apabila menahan mereka yang tinggal lebih masa pada masa ini. – Bernama