M’sia benarkan majlis sosial bermula 1 Julai

PUTRAJAYA, 24 JUN – Kerajaan membenarkan penganjuran majlis sosial termasuk majlis perkahwinan mulai 1 Julai, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Selain itu, beliau berkata majlis pertunangan, majlis berkaitan keagamaan seperti tahlil, akikah, doa selamat serta majlis sambutan ulang tahun perkahwinan dan hari lahir turut dibenarkan.

“Majlis boleh diadakan selama tiga hingga lima jam dan kapasiti kehadiran tidak melebihi 250 orang pada satu-satu masa serta tertakluk kepada saiz tempat majlis,” katanya.

Hidangan secara bufet hanya dibenarkan sekiranya dihidangkan oleh pramusaji, katanya pada sidang media perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di sini, hari ini.

Ismail Sabri berkata antara prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan adalah penganjur perlu menyediakan kaunter saringan kesihatan di pintu masuk bagi memeriksa suhu badan tetamu, pemakaian penutup mulut dan hidung serta perlu merekodkan kehadiran melalui aplikasi MySejahtera atau secara manual.

Selain itu, beliau berkata pintu keluar dan masuk bagi sesuatu majlis perlu diasingkan bagi mengelak kesesakan hadirin.

Bagaimanapun, beliau menasihatkan bakal penganjur majlis tidak meneruskan hasrat tersebut sekiranya mendapati sukar untuk mengawal keadaan dan kehadiran ramai orang. – Bernama