M’sia bukan pasukan ‘ayam-ayam’

KUALA LUMPUR, 14 OGOS – Selepas meledak dua gol menentang Australia, penyerang licik Malaysia Luqman Hakim Shamsuddin berazam membantu Malaysia melakar kemenangan berdepan Thailand pada aksi terakhir Kumpulan B Kejohanan Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) B-18 2019 esok.

Keazamaan itu bukan sahaja demi memastikan Malaysia selaku juara bertahan mara ke separuh akhir, tetapi kemenangan ke atas juara lima kali itu amat bermakna bagi mengubati kekecewaan tewas kepada pasukan sama 2-4 pada kempen Kejuaraan B-16 Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) tahun lepas.

Lebih perit, Luqman yang menjaringkan satu gol buat skuad remaja telah dilayangkan kad merah oleh pengadil Omar Mohamed Ahmed Hassan Alali pada aksi di Stadium Nasional Bukit Jalil, September lalu. Justeru, pemain berusia 17 tahun berasal dari Kota Bharu, Kelantan itu bertekad membuktikan kemampuan sebenar skuad negara itu pada aksi di Stadium Thang Long, Ho Chi Minh.

“Misi berdepan Thailand ialah saya mahu balas dendam atas kekalahan 4-2 pasukan tahun lepas…lagi pun saya dikenakan kad merah dalam perlawanan itu. Disebabkan itu saya bersama pasukan kali ini ingin buktikan bahawa Malaysia bukan pasukan ‘ayam-ayam’,” kata pemain kelahiran Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP). – Bernama