M’sia catat 122 kes, 2 Kematian baharu

PUTRAJAYA, 3 MEI – Kes baharu positif COVID-19 hari ini meningkat 17 kes berbanding semalam kepada 122 kes setakat pukul 12 tengah hari, menjadikan jumlah kumulatif kes dalam negara setakat ini ialah 6,298 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata 52 adalah kes import manakala 70 lagi merupakan kes penularan tempatan.

“Sehingga kini, 27 kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan daripada jumlah itu, 13 kes memerlukan bantuan pernafasan.

“Daripada maklumat terkini yang dilaporkan ke Pusat Kesiapsiagaan dan Respons Krisis Kebangsaan (CPRC), terdapat pertambahan dua lagi kes kematian berkaitan COVID-19. Justeru, jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 105 kes,” katanya dalam sidang media harian perkembangan COVID-19 di sini.

Beliau berkata jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 1,780 kes.

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata terdapat 87 kes pulih dan dibenarkan discaj hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari COVID-19 dan telah discaj daripada wad adalah 4,413 kes.

Tegasnya KKM akan terus memantau situasi penularan jangkitan COVID-19 di negara ini serta menggalakkan rakyat untuk menyokong usaha ke arah memutuskan rantaian penularan COVID-19 di dalam masyarakat.

“Rakyat dinasihatkan untuk kekal duduk di rumah dan hanya keluar rumah untuk urusan yang perlu sahaja. Teruskan amalkan kebersihan diri yang tinggi seperti kerap membasuh tangan dengan air dan sabun, dan amalkan jarakan sosial yang selamat iaitu sekurang-kurangnya satu meter,” katanya.

Menurut Dr Noor Hisham, pihak KKM telah mengenal pasti kluster baharu iaitu kluster tapak pembinaan Kuala Lumpur yang merekodkan 28 kes, namun tiada pertambahan sehingga kini. – Bernama

Petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang lengkap memakai pakaian pelindung diri (PPE) membawa salah seorang penghuni di sekitar Pasar Chow Kit yang didapati positif COVID-19 ke Hospital Sungai Buloh bagi mendapatkan rawatan ketika tinjauan kelmarin. – Bernama