M’sia catat 135 pulih, 45 positif, satu kematian

PUTRAJAYA, 6 MEI – Sebanyak 135 kes yang telah pulih dan dibenarkan discaj dilaporkan hari ini, tiga kali ganda daripada kes baharu disahkan COVID-19 iaitu 45 kes setakat 12 tengah hari, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Menurutnya, jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dan telah discaj daripada wad adalah sebanyak 4,702 kes iaitu 73.15 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Katanya bagi jumlah kes positif COVID-19 pula mencatatkan 6,428 kes dengan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 1,619 kes dengan mereka telah diasingkan dan diberi rawatan.

“Daripada 45 kes baharu yang dilaporkan hari ini, satu kes import dilaporkan. Ini bermakna kes penularan tempatan adalah sebanyak 44 kes, dengan satu kes telah dikesan daripada kluster dan lokaliti di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD),” katanya dalam sidang media harian perkembangan COVID-19 di sini, hari ini.

Sehingga kini, katanya seramai 22 kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), dan daripada jumlah tersebut, sembilan kes memerlukan bantuan pernafasan.

Beliau berkata, terdapat satu kematian direkodkan dengan jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 107 kes iaitu 1.66 peratus daripada jumlah keseluruhan kes. – Bernama

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah ketika sidang media harian berkaitan jangkitan COVID-19 di Kementerian Kesihatan Malaysia, kelmarin. – Bernama