M’sia catat 17 kes baharu libatkan 15 import

KUALA LUMPUR, 30 OGOS – Sebanyak 17 kes baharu positif COVID-19 melibatkan 15 kes import dan dua penularan dalam negara dilaporkan hari ini, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata ini menjadikan jumlah kumulatif kes positif wabak itu di negara ini sebanyak 9,334 kes, manakala kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 160 kes.

“Daripada 17 kes baharu dilaporkan, 15 adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara melibatkan 11 warga Malaysia dan empat bukan warganegara.

“Sebanyak 15 kes import itu adalah dari India (12 kes di Kuala Lumpur); Arab Saudi (dua kes di Kuala Lumpur) dan Jepun (satu kes di Sarawak),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengenai dua kes penularan tempatan membabitkan warga tempatan, Dr Noor Hisham berkata satu kes dikesan di Selangor melalui saringan kontak rapat kes positif ke-9,286, manakala satu kes di Kedah melalui saringan kontak rapat kes positif ke-9,284.

Dr Noor Hisham memaklumkan 10 kes telah pulih COVID-19 hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes yang pulih sepenuhnya 9,048 kes atau 96.9 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Katanya setakat hari ini tujuh kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), termasuk lima kes memerlukan bantuan pernafasan.

Beliau turut memaklumkan terdapat pertambahan satu kes kematian berkaitan COVID-19 sekali gus menjadikan jumlah kumulatif kes kematian akibat wabak itu sebanyak 126 kes (1.35 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

Menurut Dr Noor Hisham, kes kematian ke-126 (kes ke-9,290) merupakan lelaki warga tempatan berumur 75 tahun yang tidak mempunyai sejarah perjalanan ke luar negara dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis, darah tinggi, ‘Chronic Obstructive Pulmonary Disease (COPD)’ serta penyakit jantung.

“Beliau mula mempunyai gejala batuk dan sesak nafas pada 7 Ogos 2020 dan dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah, Kedah bagi jangkitan paru-paru (pneumonia) kemudian beliau dibenarkan discaj dari hospital pada 18 Ogos.

“Pada 21 Ogos, beliau mengalami gejala batuk dan sesak nafas dan mendapatkan rawatan pada 24 Ogos di Hospital Sultanah Bahiyah. Ujian saringan menunjukkan beliau positif COVID-19. Keadaan kesihatan beliau didapati semakin merosot dan disahkan meninggal dunia pada 29 Ogos pukul 5:10 petang,” katanya. – Bernama