M’sia catat 20,546 kes jangkitan COVID-19

KUALA LUMPUR, 15 OGOS – Kes baharu COVID-19 yang dilaporkan di Malaysia hari ini menurun sedikit kepada 20,546 kes berbanding 20,670 kes yang direkodkan semalam dengan 282 kematian.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menerusi perkongsian data terkini jangkitan COVID-19 di laman Twitter, memaklumkan perkembangan baharu itu menjadikan jumlah kumulatif kes di negara itu kini 1,404,899.

Menurutnya, Selangor kekal merekodkan kes tertinggi dengan 7,307 kes diikuti Sabah (1,665), Kedah (1,596), Johor (1,508), Kuala Lumpur (1,442), Pulau Pinang (1,111), Perak (1,069) dan Kelantan (1,025).

Sarawak pula mencatat 963 kes, Pahang (926), Negeri Sembilan (698), Melaka (631), Terengganu (534), Putrajaya (47), Perlis (21) dan Labuan (tiga).

Dr Noor Hisham menerusi kenyataannya hari ini memaklumkan daripada 20,546 kes, 373 kes (1.8 peratus) adalah daripada kategori tiga, empat dan lima manakala baki 20,173 kes (98.2 peratus) terdiri daripada kategori satu dan dua.

Beliau berkata secara keseluruhan, 17,802 kes (86.64 peratus) daripada jumlah kes yang dilaporkan tidak mempunyai sejarah atau tidak lengkap vaksinasi COVID-19.

Selain itu, beliau berkata kes sembuh mencatatkan 16,945 kes, menjadikan jumlah kumulatif kini 1,145,128 kes manakala kes aktif sebanyak 247,261 kes. – Bernama