M’sia catat 20,579 kes baharu jangkitan COVID-19

KUALA LUMPUR, 29 OGOS – Sebanyak 20,579 kes baharu COVID-19 dilaporkan hari ini, menurun berbanding 22,597 kes semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menerusi ciapan di laman Twitternya berkata ia menjadikan jumlah kumulatif kes di negara ini sebanyak 1,706,089.

Sementara itu dalam satu kenyataan Dr Noor Hisham berkata, daripada 20,579 kes baharu itu, 455 kes atau 2.2 peratus adalah daripada kategori tiga, empat dan lima, manakala 20,124 kes lagi terdiri daripada kategori satu dan dua. Menurutnya secara keseluruhan 15,651 kes atau 76.1 peratus daripada jumlah kes dilaporkan itu tiada atau tidak lengkap vaksinasi.

Beliau berkata kes sembuh mencatatkan 20,845 kes, menjadikan kumulatif kes sembuh adalah 1,422,005 manakala kes aktif kini 267,997.

Mengenai 26 kluster baharu yang dikesan, Dr Noor Hisham berkata 20 daripadanya melibatkan tempat kerja, lima kluster komuniti dan satu kluster pendidikan lain.

Berdasarkan data terkini, nilai kebolehjangkitan COVID-19 atau R-Naught (Rt) Malaysia semalam adalah sebanyak 1.01 dengan negeri yang mencatatkan nilai Rt tertinggi ialah Sarawak dengan nilai Rt 1.25, diikuti oleh Perlis (1.21), dan Sabah (1.16).

Semua negeri mencatatkan nilai Rt melebihi 1.0 kecuali Pahang, Melaka, Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Labuan dan Negeri Sembilan. – Bernama