M’sia catat 24 kes baharu

KUALA LUMPUR, 9 SEPT – Sebanyak 24 kes baharu dicatatkan hari ini melibatkan 18 kes penularan tempatan dan enam kes import, menurut Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata kes baharu tertinggi dilaporkan dari Kluster Sungai, Kedah melibatkan 13 kes manakala dua kes dari Kluster Benteng, Sabah.

“Daripada 18 kes penularan di dalam negara, 16 melibatkan warganegara dan dua adalah bukan warganegara,” katanya.

Kedah mencatatkan 16 kes baharu dengan 13 kes daripada Kluster Sungai; satu kes daripada Kluster Tawar; satu kes daripada Kluster Telaga; dan satu kes saringan bergejala di Hospital Sultanah Bahiyah manakala Sabah merekodkan dua kes daripada Kluster Benteng.

Enam kes merupakan kes import yang telah mendapat jangkitan di luar negara melibatkan tiga warganegara Malaysia dan tiga bukan warganegara.

Katanya, enam kes import tersebut adalah dari Bangladesh (dua kes: satu kes di Negeri Sembilan, satu kes di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur); China (satu kes di Sabah); Indonesia (satu kes di Sabah); Singapura (satu kes di Sarawak); dan Korea Selatan (satu kes di Selangor).

“Kes import melibatkan bukan warganegara telah memasuki Malaysia sebelum pelaksanaan sekatan kemasukan yang mula berkuat kuasa pada 7 September.

“Dua kes dari Bangladesh tiba di Malaysia pada 6 September dan telah disaring pada hari yang sama manakala satu kes dari China tiba di Malaysia pada 5 September dan disaring pada 6 September,” katanya.

Beliau menjelaskan keputusan ujian saringan individu terlibat dilaporkan positif COVID-19 hari ini serta beberapa kes import dilaporkan semalam.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata terdapat tujuh kes positif yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), termasuk empat kes memerlukan bantuan pernafasan serta tiada pertambahan kes kematian berkaitan COVID-19 hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kekal 128 kes. – Bernama

Peniaga ikan memunggah hasil tangkapan mereka ketika tinjauan di Pasar Nelayan Seberang Kota Kuala Kedah. Pasar Nelayan ini dibuka semula pada Jumaat lepas selepas ditutup bagi mencegah penularan COVID-19, yang mana setakat 9 September sebanyak 24 kes baharu telah dilaporkan. – Bernama