M’sia catat 3 angka, 3 kematian virus

KUALA LUMPUR, 23 SEPT – Jumlah kes baharu COVID-19 di Malaysia kembali mencatat tiga angka pada 147 kes yang turut merangkumi 143 jangkitan tempatan selain merekodkan tiga kematian baharu dalam tempoh 24 jam lepas.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata perkembangan terbaharu itu menjadikan kes terkumpul wabak tersebut berjumlah 10,505 yang meragut 133 nyawa.

Katanya kes penularan tempatan melibatkan 115 rakyat Malaysia dan 28 warga asing, manakala kes import pula membabitkan tiga rakyat tempatan dan satu warga asing yang pulang dari India (3 kes) dan Indonesia (1 kes).

“Bagi kes penularan dalam negara, sebanyak 134 kes dikesan di Sabah; lima di Kedah; Selangor (2) dan masing-masing satu di Wilayah Pesekutuan Kuala Lumpur dan Kelantan,” katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan COVID-19 hari ini.

Memperincikan kes kematian, Dr Noor Hisham berkata dua dilaporkan di Sabah, sementara satu lagi di Kedah.

Dr Noor Hisham berkata sebanyak 39 kes pulih hari ini menjadikan jumlah kumulatif pulih sepenuhnya kini sebAanyak 9,602 kes atau 91.4 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Pada masa ini terdapat lapan kes dirawat di ICU dengan dua memerlukan alat bantuan pernafasan, katanya. – Bernama