M’sia catat 4,427 kes sembuh, kes aktif menurun

KUALA LUMPUR, 24 JAN – Pesakit sembuh daripada COVID-19 di negara ini mencatat jumlah tertinggi hari ini dengan 4,427 kes sekali gus mengatasi bilangan kes baharu, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Perkembangan baharu itu menjadikan jumlah kes aktif menurun kepada 41,677 kes berbanding 42,769 kes semalam.

Dr Noor Hisham berkata jumlah kes baharu juga menurun namun kekal empat angka iaitu 3,346 orang manakala sembilan lagi kluster baharu dilaporkan termasuk lapan kluster penularan di tempat kerja.

“Selangor melaporkan kes harian baharu paling tinggi iaitu 950 kes; Sabah (431 kes); Kuala Lumpur (390 kes); Johor (378 kes); Sarawak (255 kes); Terengganu (179 kes); Negeri Sembilan (160 kes); dan Melaka (152 kes).

“Pulau Pinang dengan 90 kes; Kedah pula mencatat 85 kes; Kelantan (77 kes); Pahang (63 kes); Labuan (49 kes); Perak (46 kes); Putrajaya (38 kes); dan Perlis merekodkan hanya tiga kes,” katanya dalam kenyataan perkembangan COVID-19, di sini hari ini.

Dr Noor Hisham berkata sebanyak 11 lagi kematian dilaporkan hari ini melibatkan 10 warga tempatan dan seorang rakyat asing. – Bernama

Gambar fail bertarikh 13 Januari menunjukkan seorang wanita memakai penutup mulut dan hidung berjalan di hadapan gedung beli-belah di Kuala Lumpur. Malaysia pada 24 Januari mencatatkan 4,427 pesakit yang sembuh daripada COVID-19. – Xinhua