M’sia catat 93 kes baharu COVID-19

PUTRAJAYA, 3 JUN – Sebanyak 93 kes positif COVID-19 baharu yang dilaporkan hari ini membabitkan hanya dua warganegara dan selebihnya bukan warganegara Malaysia, sekali gus menjadikan jumlah kumulatif terkini ialah 7,970 dan tiada kematian dicatatkan.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata kesemua 93 kes baharu itu adalah penularan di dalam negara.

“Daripada 91 kes melibatkan bukan warganegara, 55 kes adalah dari Depot Tahanan Imigresen Bukit Jalil dan 36 kes dari Kluster Pedas, sementara dua kes warganegara melibatkan saringan pelajar tahfiz dan satu daripada kluster pasar,” katanya pada sidang media harian perkembangan COVID-19 di sini hari ini.

Susulan itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 1,324 dan mereka telah diasingkan serta diberi rawatan.

Beliau berkata 61 kes telah pulih dan dibenarkan discaj pada hari ini, manakala daripada enam kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dua daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

Petugas Kementerian Kesihatan lengkap berpakaian perlindungan diri (PPE) melakukan pemeriksaan bagi memastikan setiap penghuni menjalani saringan COVID-19 di sebuah pangsapuri di Cheras ketika tinjauan kelmarin. – Bernama

Sementara itu Dr Noor Hisham berkata sebanyak 466 kes positif direkodkan daripada 4,908 sampel yang diambil di empat kluster Depot Tahanan Imigresen (DTI) di Bukit Jalil, Sepang, Semenyih dan Putrajaya adalah termasuk seorang warganegara.

Daripada jumlah sampel yang diambil, sebanyak 3,267 didapati negatif manakala 1,175 masih menunggu keputusan.

Katanya kes positif COVID-19 dalam kalangan bukan warganegara di DTI adalah dari negara India (123), Bangladesh (108), Indonesia (76), Myanmar (66), Pakistan (45), China (18), Sri Lanka (tujuh), Nepal (lima), Kemboja (empat), Filipina (tiga), Mesir (dua) dan masing-masing satu melibatkan warga Laos, Nigeria, Libya, Syria, sementara empat kes masih dalam tindakan kemas kini data.

Mengulas mengenai Kluster Pedas, Dr Noor Hisham berkata sebanyak 36 kes positif baharu telah dilaporkan, menjadikan jumlah kes positif COVID-19 membabitkan kluster itu sebanyak 256 kes.

Daripada jumlah itu, 14 kes melibatkan warganegara, manakala 242 kes bukan warganegara iaitu Nepal (136), Bangladesh (55), Myanmar (26), Indonesia (21), India (tiga), dan satu Vietnam.

“Kes-kes positif baharu ini telah dikesan hasil daripada saringan ulangan dalam tempoh mereka di pusat kuarantin. Mereka masih diasingkan di pusat kuarantin, justeru tidak membawa risiko penularan kepada masyarakat,” katanya.

Dr Noor Hisham menyeru pihak majikan untuk memainkan peranan lebih besar dalam sama-sama menangani isu penularan COVID-19 dalam kalangan pekerja bukan warganegara dengan memberi pendidikan mengenai amalan kebersihan kendiri, persekitaran tempat kerja, tempat tinggal, serta langkah pencegahan.

“Di samping itu sediakan penginapan yang kondusif untuk memastikan penjarakan sosial yang selamat dapat diamalkan, memantau dan memastikan amalan pencegahan jangkitan dipraktikkan oleh pekerja di tempat kerja dan tempat penginapan mereka,” katanya. – Bernama