M’sia catat jumlah terendah kes baharu

PUTRAJAYA, 20 APRIL – Usaha Malaysia dalam memerangi penularan COVID-19 terus menunjukkan perkembangan memberangsangkan apabila jumlah kes positif baharu dicatatkan hari ini adalah yang terendah dengan 36 kes, sejak 12 Mac lepas.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata tiada kematian dilaporkan hari ini, mengekalkan jumlah keseluruhan kematian pada 89.

“Jumlah kes pulih pada hari ini juga melebihi kes baharu dengan 98 kes, menjadikan jumlah kumulatif kes pulih sepenuhnya daripada COVID-19 dan telah discaj daripada wad adalah sebanyak 3,295 kes atau 60.74 peratus daripada jumlah keseluruhan kes,” katanya pada sidang media harian perkembangan COVID-19 di Kementerian Kesihatan (KKM), di sini, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia kini adalah 5,425 kes manakala jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 2,041 kes.

Sehingga kini, 45 kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 28 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan. – Bernama