M’sia catat kes baharu terendah, 10 kes

PUTRAJAYA, 28 MEI – Jumlah kes positif baharu COVID-19 hari ini mencatat angka paling rendah dengan 10 kes, sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan mulai 18 Mac lepas, sekali gus menjadikan jumlah kumulatif terkini 7,629 kes.

Lebih menggembirakan hari ini juga sekali lagi tiada kes kematian dicatatkan seperti sejak seminggu lepas dan jumlah kumulatif maut kekal pada 115.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata terdapat 86 kes pulih dan dibenarkan discaj pada hari ini.

“Ini menjadikan jumlah kumulatif kes pulih sepenuhnya daripada COVID-19 dan telah discaj dari wad adalah sebanyak 6,169 kes atau 80.9 peratus daripada jumlah keseluruhan kes. – Bernama