M’sia catat peningkatan kes, 17 varian Afrika Selatan

KUALA LUMPUR, 14 APRIL – Jumlah kes COVID-19 di Malaysia terus menunjukkan trend peningkatan dalam tempoh dua hari terakhir, apabila mencatatkan sebanyak 1,889 kes hari ini berbanding 1,767 kes semalam dengan 17 kes tempatan dikenal pasti varian Afrika Selatan B.1.351.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, perkembangan terbaharu itu menjadikan jumlah kumulatif kes COVID-19 dalam negara sebanyak 365,829 kes.

Menerusi ciapan di laman Twitter, Dr Noor Hisham berkata Selangor mencatatkan kes tertinggi iaitu sebanyak 517 kes, diikuti Sarawak 489 kes, Kelantan sebanyak 226 kes dan Perlis tiga kes baharu hari ini.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan kemudian Dr Noor Hisham memaklumkan, sebanyak 1,485 kes sembuh dilaporkan hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan kes sembuh sebanyak 347,780 kes. – Bernama