Friday, April 19, 2024
23.7 C
Brunei

    -

    M’sia catat peningkatan lebih 7,000 kes COVID-19

    KUALA LUMPUR, 4 FEB – Kes baharu COVID-19 di Malaysia melonjak kepada 7,234 kes hari ini selepas tiga hari berturut-turut merekodkan angka lebih 5,000 kes.

    Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata perkembangan itu menjadikan jumlah kumulatif kes COVID-19 sebanyak 2,895,014 setakat 12 tengah hari tadi manakala jumlah pesakit yang pulih daripada jangkitan pula meningkat kepada 2,799,608 dengan pertambahan 5,254 orang hari ini. 

    “Daripada jumlah kes baharu hari ini, 73 melibatkan kategori tiga, empat dan lima manakala bakinya kategori satu dan dua. 118 kes memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 57 kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya dalam kenyataan harian mengenai situasi semasa jangkitan COVID-19.

    Beliau juga berkata sebanyak 21 kluster baharu direkodkan dengan 346 kluster masih aktif setakat ini.

    Mengenai kadar kebolehjangkitan (Rt), Dr Noor Hisham berkata Rt negara berada pada paras 1.11 semalam dengan Perlis merekodkan nilai tertinggi iaitu 1.25 diikuti Johor (1.20) dan Pulau Pinang (1.17). 

    Sementara itu, menerusi ciapan Twitter, Dr Noor Hisham berkata kadar vaksinasi dan dos penggalak yang tinggi di negara ini menyebabkan kurang pesakit dalam kategori tiga, empat dan lima serta ia menunjukkan bahawa vaksin itu berfungsi.

    “Walaupun jumlah kes COVID-19 dijangka meningkat dalam beberapa hari dan minggu berikutan kebolehjangkitan varian Omicron yang tinggi, ia menyebabkan gejala yang dialami tidak begitu teruk terhadap mereka yang sudah menerima vaksinasi penuh dan suntikan dos penggalak,” katanya. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gempa bumi 6.3 magnitud di Jepun cederakan 8 orang

    TOKYO, 18 APRIL – Lapan orang dilaporkan cedera hari ini selepas gempa bumi berukuran 6.3 magnitud melanda barat daya Jepun, tetapi tiada kerosakan besar...