M’sia ceburi pengeluaran bahan api biodiesel generasi kedua, biojet

KAJANG, 13 DIS – Malaysia kini menceburi bidang pengeluaran bahan api biodiesel generasi kedua dan biojet yang dijangka dapat dikomersialkan ke pasaran global dalam tempoh empat hingga lima tahun akan datang.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata kejayaan bermakna itu dicapai susulan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) membabitkan pertukaran teknikal dalam pengeluaran kedua-dua bahan api itu di negara ini, hari ini.

MoU yang dimeterai oleh Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Pengerang Maritime Industries Sdn Bhd, Shanxi Construction Investment Group Co Ltd dan Institut Kimia Arang Batu Akademi Sains China itu akan disusuli dengan mewujudkan kilang minyak sayuran berhidrogen (HVO) di Pengerang, kata beliau.

Bercakap pada sidang media selepas majlis pemeteraian MoU itu di sini, hari ini, beliau berkata kilang tersebut berpotensi mengeluarkan Bahan Api Penerbangan Mampan (SAF) atau lebih dikenali sebagai bahan api biojet yang melibatkan usaha pemecahan dan penghidrogenan minyak sawit menjadi bahan api hidrokarbon yang dapat digunakan dalam industri penerbangan.

“Pelaburan bernilai kira-kira RM3 bilion diperlukan bagi pembinaan kilang tersebut yang merangkumi pengambialihan tanah dan aspek infrastruktur. Fasa pertama kilang itu dapat menghasilkan kapasiti sebanyak 500,000 tan setahun.

“Kerjasama membabitkan kilang HVO di Malaysia itu akan terus mendorong pertumbuhan ekonomi. Saya yakin projek ini akan menyuntik lebih banyak nilai ke atas produk-produk minyak sawit Malaysia dengan memperkukuh dagangan dalam produk-produk yang mempunyai nilai tambah,” katanya.

Mengulas selanjutnya, Zuraida berkata satu kajian berkaitan bahan api biodiesel generasi kedua dan biojet yang melibatkan teknologi hijau, telah dilaksanakan sejak enam bulan lepas dan dijangka selesai dalam tempoh enam bulan akan datang. – Bernama