M’sia guna 5G sepenuhnya 2023

JAKARTA, 10 SEPT – Malaysia sedang berusaha untuk menggunakan  sepenuhnya  teknologi 5G menjelang 2023, kata Timbalan Menteri Luar Datuk Marzuki Yahya.

Beliau berkata Malaysia percaya penggunaan teknologi itu akan memudahkan usaha kerajaan untuk memperbaiki kehidupan rakyat serta menjadi pemangkin pembangunan Malaysia.

“Malaysia merupakan antara beberapa negara di rantau ini yang menerima baik pemakaian teknologi 5G.

“Tahun lepas kami menubuhkan Pasukan Petugas 5G.

“Pasukan Petugas ini telahpun mengemukakan laporan jangka pertengahannya tentang proses Malaysia ke arah penggunaan 5G,” katanya dalam ucapannya pada persidangan serantau mengenai Diplomasi Digital (RCDD) di Jakarta di sini kelmarin.

RCDD mengumpulkan para menteri, pegawai kerajaan, ahli pemikir dan ahli akademik dari semua negara anggota ASEAN, serta Australia, India, Jepun, New Zealand, China dan Korea Selatan untuk membincangkan dan berkongsi amalan terbaik mengenai penggunaan media baharu  untuk diplomasi yang berkesan.

Ia juga  memberi peluang kepada negara-negara peserta untuk melihat inisiatif dan kaedah baru dalam meningkatkan lagi diplomasi, dan dalam memupuk kerjasama serantau dalam diplomasi digital.

Malaysia menganggap teknologi digital sebagai faktor pemacu untuk inovasi dan pertumbuhan dalam banyak bidang penting. Sudah tentu, termasuk diplomasi. – Bernama