M’sia hantar pulang lebih 1,000 pendatang tanpa izin Myanmar

IPOH, 23 FEB – Seramai 1,086 pendatang tanpa izin warga Myanmar yang ditahan dalam depot-depot Imigresen di seluruh negara sejak tahun lepas dihantar pulang melalui Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut hari ini.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata program penghantaran pulang itu dilaksanakan pihaknya dengan kerjasama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) khususnya TLDM, Pasukan Petugas Kebangsaan (NTF) dan pihak Kedutaan Myanmar.

“Semua tahanan yang dihantar pulang merupakan pendatang tanpa izin warga Myanmar dan tidak melibatkan etnik Rohingya atau pencari suaka. Kesemua mereka yang dihantar pulang menaiki tiga buah kapal Tentera Laut Myanmar itu telah bersetuju untuk pulang secara sukarela tanpa paksaan mana-mana pihak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata program penghantaran pulang itu merupakan sebahagian daripada aktiviti berterusan proses pengusiran oleh Jabatan Imigresen bagi tahanan yang ditempatkan di depot Imigresen.

Katanya, proses pengusiran pada tahun lepas berjalan agak perlahan berikutan kebanyakan negara menutup pintu sempadan masing-masing.

Gambar pegun dari sebuah video menunjukkan orang-orang tidak dikenali dibawa ke sebuah jalan menuju ke Pangkalan Tentera Laut Lumut, di Malaysia, 23 Februari. Malaysia menghantar pulang lebih 1,000 pendatang Myanmar, meskipun mendapat kecaman daripada aktivis. – AP

“Jabatan ini, melalui Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Wisma Putra akan terus berusaha untuk mendapatkan persetujuan negara-negara terbabit seperti Vietnam, Indonesia, Bangladesh dan lain-lain supaya membawa pulang rakyat mereka yang kini ditahan dalam depot-depot Imigresen dalam jumlah yang besar.

“Jabatan Imigresen merakamkan ucapan terima kasih atas kerjasama semua pihak khususnya TLDM dan NTF dalam menjayakan program penghantaran pulang ini,” katanya.

Dalam pada itu, aktivis menyelar rancangan penghantaran pulang yang menurut mereka mengingkari perintah mahkamah yang menghentikan penghantaran tersebut.

Pendatang, menurut aktivis termasuk pencari suaka yang terdedah bahaya, dihantar pulang dalam tiga kapal tentera Myanmar dari pangkalan tentera Malaysia selepas tiba di pangkalan itu menaiki bas dan trak yang padat dengan iringan polis.

Amerika Syarikat, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan kumpulan hak asasi mengkritik rancangan itu, ketika beberapa jam sebelum deportasi, sebuah mahkamah di Kuala Lumpur mengarahkan ia dihentikan sementara bagi membenarkan perbicaraan mahkamah.

Aktivis dikatakan bakal menekankan bahawa deportasi seharusnya tidak dibenarkan memandangkan Malaysia akan melanggar tanggungjawab antarabangsanya dengan menghantar pulang orang-orang terancam dan rampasan kuasa tentera pula menambahkan lagi bahaya ke atas mereka. – Bernama/AFP