M’sia harap capai persetujuan Singapura, Brunei

PUTRAJAYA, 22 JUN – Malaysia masih di peringkat awal perbincangan dengan Singapura dan Brunei mengenai pembukaan semula sempadan antarabangsa secara bersyarat.

“Setakat ini, masih di peringkat awal dan sekarang perbincangan ini bukan hanya melibatkan KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) tetapi melibatkan Kementerian Luar dan sebagainya.

“Pasukan kerajaan telahpun berbincang tapi masih belum dapat persetujuan lagi,” kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam sidang media perkembangan COVID-19 di sini, hari ini.

Beliau berkata pelaksanaan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang dipersetujui secara dua hala serta kerjasama dengan negara-negara terbabit amat penting dalam melaksanakan perkara tersebut.

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata pembukaan semula sempadan itu mungkin dilaksanakan semasa atau selepas tamat tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) akhir Ogos ini.

Ditanya bagaimana KKM mengklasifikasi sesebuah negara sebagai zon hijau, beliau berkata ia berpandukan beberapa indikator seperti penularan kes jangkitan sama ada dalam negara atau kes import, melibatkan warga tempatan atau asing, trend jangkitan dalam tempoh tertentu dan dasar yang diamalkan negara-negara tersebut dalam mengawal penularan COVID-19.

Sebelum ini, Dr Noor Hisham dilaporkan berkata KKM telah mengenal pasti enam negara zon hijau COVID-19 bagi pembukaan semula sempadan antarabangsa negara secara bersyarat iaitu Singapura, Brunei, New Zealand, Jepun, Australia dan Korea Selatan.

Dalam perkembangan lain, Dr Noor Hisham mengumumkan satu lagi kluster yang diisytiharkan tamat hari ini iaitu kluster Depot Tahanan Imigresen Semenyih, yang pernah menyebabkan jangkitan 66 kes tanpa kematian, menjadikan sebanyak 41 kluster ditamatkan secara keseluruhan. – Bernama

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah semasa bercakap pada sidang media berkaitan jangkitan COVID-19 di Kementerian Kesihatan kelmarin. – Bernama