SEBERANG JAYA, 10 MAC – Malaysia dan Indonesia akan memeterai memorandum persefahaman (MoU) pada 17 Mac ini, untuk pengambilan pekerja asing dari Indonesia.
Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M Saravanan berkata MoU itu akan ditandatangani kedua-dua pihak, bagi membenarkan kemasukan pekerja domestik dari Indonesia ke negara.
Menurutnya, isu yang berkaitan gaji minimum, skop pekerjaan serta penggunaan sistem yang sah telah selesai dibincangkan.
“Kita telah mencapai persetujuan dalam beberapa isu dan akhirnya MoU untuk pekerja domestik ini akan lakukan di Bali, Indonesia 17 Mac,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Terdahulu, Saravanan merasmikan Forum Pelan Tindakan Nasional Berhubung Buruh Kasar dianjurkan Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRD Corp), yang turut dihadiri Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Zuraida Kamaruddin. – Bernama