Friday, April 19, 2024
29.4 C
Brunei

    -

    M’sia, Indonesia kutuk kenyataan menghina Nabi Muhammad SAW

    PUTRAJAYA/JAKARTA, 7 JUN – Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya kenyataan menghina Nabi Muhammad SAW oleh dua ahli politik India.

    Menurut kenyataan Kementerian Luar (Wisma Putra) pada Selasa, kementerian telah memanggil Pesuruhjaya Tinggi India ke Malaysia petang ini dan menyampaikan penyangkalan sepenuhnya terhadap kenyataan itu. 

    “Malaysia mengalu-alukan keputusan parti pemerintah India untuk menggantung ahli parti terbabit berikutan kenyataan provokasi mereka yang telah menimbulkan kemarahan dalam kalangan umat Islam,” menurut kenyataan itu.

    Malaysia turut menyeru India untuk bekerjasama dalam menamatkan Islamofobia dan menghentikan sebarang tindakan provokasi demi keamanan dan kestabilan sejagat.

    Malaysia adalah antara negara terkini yang bersama mengutuk tindakan dua pegawai parti Bharatiya Janata (BJP) yang mengeluarkan komen berbaur penghinaan yang mencetuskan kemarahan banyak negara Islam.

    Indonesia turut mengecam kenyataan kontroversi dua ahli politik India itu.

    “Indonesia mengutuk sekeras-kerasnya kenyataan menghina Nabi Muhammad (saw) oleh dua ahli politik India.

    “Indonesia turut memanggil Duta India di Jakarta dan menyerahkan surat bantahan berhubung perkara itu,” ciap Kementerian Hal Ehwal Luar di akaun Twitter rasminya.

    Indonesia bersama-sama Qatar, Kuwait, Iran, Arab Saudi dan negara Islam lain mengutuk kenyataan ahli politik parti pemerintah India baru-baru ini yang didakwa menghina Islam.

    Parti pemerintah India, BJP pada Ahad menggantung jurucakapnya, Nupur Sharma yang didakwa membuat kenyataan menghina dalam debat televisyen dan Naveen Jindal atas komennya di media sosial. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Mahkamah batalkan sabitan bekas Presiden Maldives Abdulla Yameen

    NEW DELHI, 19 APRIL - Mahkamah di Maldives membatalkan sabitan bekas Presiden Abdulla Yameen atas tuduhan rasuah, kelmarin. Panel tiga hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa...