M’sia, Indonesia siasat penemuan mayat

MELAKA, 20 JAN – Malaysia akan bekerjasama dengan negara jiran bagi mendapatkan pengesahan penemuan satu mayat di Pulau Rupat, Indonesia yang dipercayai satu daripada dua nelayan yang dikhuatiri lemas pada 13 Januari lepas.

Ketua Polis Melaka, Datuk Abdul Majid Mohd Ali berkata setakat ini masih terlalu awal untuk membuat sebarang pengesahan atau andaian ekoran maklumat dan siasatan masih pada peringkat awal.

Beliau berkata pihaknya memerlukan sekurang-kurangnya satu minggu untuk mendapatkan pengesahan berkenaan kerana ia melibatkan banyak proses serta siasatan akan dilakukan Polis Republik Indonesia (Polri) kerana mayat dijumpai di negara berkenaan.

“Pihak polis telah dapat maklumat awal tentang penemuan itu tetapi kita perlu tapis semula dan kerjasama akan dilakukan dengan Polri dan ia memerlukan siasatan lanjut yang lebih terperinci.

“Sebaik sahaja siasatan oleh Polri selesai dijalankan, barulah kita buat permohonan bagi mendapatkan mayat berkenaan untuk dibawa balik ke Malaysia,” katanya kepada pemberita selepas Program Sumbangan Kit Makanan dan Minuman kepada Petugas Barisan Hadapan Sekatan Jalan Raya di Tol Ayer Keroh di sini, hari ini. – Bernama