KUALA LUMPUR, 28 Jun – Pengeluar bahan pelabelan dan pembungkusan global, Avery Dennison Materials Sdn Bhd, yakin Malaysia akan kekal penting kepada strategi rantaian bekalannya.
Ini kerana negara ini mempunyai infrastruktur yang kukuh, lokasi strategik dengan akses kepada pelabuhan dan menjadi pintu masuk ke rantau Asia Tenggara dan Asia Pasifik.
Naib Presiden dan Pengurus Besar Perniagaan Bahan Grafik dan Label bagi Asia Pasifik Selatan dan Afrika Sub-Sahara, Anil K. Sharma, berkata beliau yakin Malaysia mempunyai sumber dan infrastruktur yang mencukupi untuk membina ekosistem sokongan untuk mengekalkan industri pembuatan.
Syarikat telah memulakan operasi jalur penyaduran pelekat cairan panas berkelajuan tinggi di kemudahan pembuatannya di Bangi, Selangor baru-baru ini
Barisan sepanjang 1.5 meter itu merupakan yang ‘pertama’ di Asia Tenggara dan akan menyediakan portfolio produk lengkap kepada pelanggan di rantau ini, Australia dan New Zealand.
Anil berkata 30 peratus pengeluaran adalah untuk pasaran Malaysia manakala selebihnya, bagi negara-negara Asia Tenggara lain, Australia dan New Zealand.
Produk syarikat digunakan oleh pelbagai industri, daripada pembungkusan hingga kepada pengiklanan dan promosi, penggayaan dan keselamatan jalan.
Syarikat yang diperbadankan di Malaysia pada 1997, melabur kira-kira US$13 juta untuk projeknya di negara ini. Ia untuk industri, iaitu barangan pengguna yang bergerak pantas (FMCG), elektronik dan tahan lama, farmaseutikal, logistik, dengan jumlah pengedaran yang sama.
“Kebanyakan negara di Asia Tenggara mempunyai tarikan yang agak menarik dari perspektif pembuatan. Apa yang membezakan Malaysia, khususnya, ialah persekitaran perniagaan dan politik yang stabil.
“Di samping itu, hala tuju ekonomi negara dalam mencapai pelan Transformasi Nasional 2050 (TN2050), jelas menjadikannya menarik bagi pelaburan tambahan di Malaysia. – Bernama