M’sia kembali catat tiga angka

KUALA LUMPUR, 25 SEPT – Kes baharu COVID-19 kembali melonjak kepada tiga angka pada 111 kes, melibatkan 107 kes penularan tempatan serta empat kes import dalam tempoh 24 jam lepas.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata perkembangan itu menjadikan kes terkumpul wabak tersebut berjumlah 10,687 dengan 133 kematian.

Katanya, kes penularan tempatan melibatkan 76 rakyat Malaysia dan 31 warga asing, dan Sabah masih menjadi penyumbang kepada majoriti kes iaitu sebanyak 97 berbanding 63 kes dilaporkan semalam.

“Daripada 97 kes yang berlaku di Sabah, 74 kes daripada kluster Bangau-Bangau, 13 kes daripada Kluster Benteng LD, dua kes daripada Kluster Laut, dua kes saringan rujukan ke hospital, dua kes saringan di tempat kerja, dua kes saringan bergejala, satu kes Jangkitan Pernafasan Akut Teruk (SARI) di Hospital Tawau dan satu kes saringan di Pintu Masuk Antarabangsa.” – Bernama